Followers

TERIMA KASIH..

Thursday, March 26, 2009 / Posted by Muhammad Danny /

9.04pm.. Depan Pusat..

Bismillahhirrahmanirrahim..
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera..

Hari ini, tanggal 26 Mac 2009, tamat sudah segala tanggungjawab yang telah aku pikul selama 363 hari. Walaupun hati aku sebak memikirkan apa yang akan aku lakukan selepas ini, tapi ternyata aku gembira apabila memikirkan aku telah bergelar seorang 'mantan jaksa' dan bukan sebagai seorang 'bekas jaksa'. Mungkin ada yang menganggap ianya hanya gelaran, tapi bagi aku yang menjawat jawatan nombor satu dalam kolej yang terbesar, ada makna yang sangat-sangat tersirat disebalik jawatan ini.

Izinkan aku memulakannya dengan sejarah. Sebaik saja selepas MMM aku, aku sudah nampak hala tuju aku di UKM. Angan-angan untuk menetap diluar kampus pada tahun 2 terkubur buat selamanya apabila aku ditawarkan untuk menggantikan kepimpinan pada tahun aku. Aku mula mengenali apakah skop tugas aku sejurus selepas MMM. Dengan tunjuk ajar dari seorang senior aku- Hatta Hashom, telah memberikan segala input dan pengalaman. Tidak setakat Hatta Hashom, malah ramai lagi yang telah memberikan aku semangat dalam meneruskan impian aku.

Setahun berlalu sebagai seorang junior. Aku membina segala kekuatan pada diri aku sendiri untuk digunakan semasa menjadi YDP. Aku ketahui segala kekurangan pada kepimpinan semasa, aku belajar segala selok belok birokrasi UKM, aku alami segala perasaan berorganisasi, aku cuba dan cuba sedaya upaya untuk membuatkan diri aku ini padan untuk menjawat jawatan tersebut. Bermula dengan Presiden Rakan HEP, aku mula mengatur langkah satu per satu. Walaupun projek kami ditolak dan tidak dapat dilaksanakan, aku tekad dan aku tanam dalam diri aku, aku akan melakukan sebuah projek walaupun bukan aku yang menjadi Ketua Pengarah. Aku timba segala ilmu pengetahuan dalam berorganisasi dengan kepayahan yang teramat serta kepenatan yang tidak boleh diungkapkan. Dari kolej, aku ke fakulti serta pusat pengajian untuk mendapatkan ilmu. Tidak kurangnya di DECTAR, sungguh banyak yang aku timba. Terima kasih kalian.

Teringat lagi ketika aku berada di bilik Abang Hatta, apabila satu soalan diajukan terhadap kawan ku- Achap dan Bonda. Tapi sangat-sangat sedih apabila Achap merasakan aku tidak layak untuk menjadi YDP. Bagi dirinya, ada yang lebih layak untuk jawatan tersebut, dan aku lebih layak untuk jawatan NYDP.

Di sini, izinkan aku memohon maaf kepada semua pihak yang pernah aku lukai selama aku menjawat jawatan ini. [i]Pertama sekali, kepada 18 anak buah aku yang penat melayan karenah aku serta idea aku yang kadang kala tidak bernas untuk diaplikasikan. Aku minta maaf banyak-banyak andai aku tersilap kata sampai terguris hati anda semua. [ii]Kedua, izinkan aku meminta maaf dari semua kawan-kawan aku yang telah aku abaikan selama ini kerana terlalu obses dengan jawatan yang telah aku sandang. Aku sedar dengan kesilapan aku, namun hanya meminta maaf yang dapat aku ungkapkan. [iii]Seterusnya, beribu-ribu kemaafan aku terhadap penghuni-penghuni KPZ yang adakalanya aku abaikan kebajikan anda semua. Sememangnya, kapasiti yang besar ini sangat-sangat susah untuk dipuaskan. Namun, aku akui ini semua kesilapan aku. [iv]Kepada rakan-rakan JAKSA yang berada di kolej lain, ampun dan maaf dipinta andai aku pernah memalukan kamu semua dalam apa sahaja pertandingan atau perjumpaan kita bersama. [v]Dan akhir sekali, kepada junior-junior aku, minta maaf kerana selama ini kamu berhadapan dengan seorang ketua yang sangat lancang dan pedas bila berkata. Mungkin ada yang menganggap sebagai tin kosong, tapi itu semuanya terpulang pada anda untuk mentafsir. Apa sekalipun, minta maaf kerana selalu memarahi anda semua.

Di kesempatan ini, izinkan saya mengucapkan jutaan terima kasih dan izinkan saya merakamkan penghargaan saya. [i]Terima kasih aku ucapkan kepada Ayahanda Pengetua dan Majlis Felo kerana telah memberikan kepercayaan kepada aku untuk menerajui kepimpinan 2008/2009. Aku telah cuba sedaya upaya, dan ini lah hasilnya. [ii]Kepad rakan-rakan JAKSA yang selama ini telah bersama dalam mengerakkan segala gerak kerja, terima kasih banyak-banyak. Terima kasih kerana menjadikan aku seorang YDP yang sangat hebat. Sememangnya, aku gah kerana ada pasukan yang sangat digeruni. [iii] Kepada kawan-kawan aku yang selama ini membantu aku, terima kasih yang tidak terhingga. Aku akan kembali kepada dunia asalku tanpa apa-apa tanggungjawab untuk bersama kalian semua. [iv]Kepada junior-junior aku, sesungguhnya aku berbangga menjadi YDP kepada kalian semua kerana kalianlah yang telah menaikkan nama aku di pelusuk UKM. Ak u berbangga mempunyai anak-anak buah seperti kamu. Terima kasih kalian semua. Buatlah yang terbaik dan ajarlah junior kalian dengan sepenuh hati. [v]Kepada sahabat aku, nasihat-nasihat engkau selama ini tidak akan aku lupakan. Terima kasih kerana telah berpegang pada janji kamu dan terima kasih kerana sentiasa menjadi pendengar yang setia dikala aku ditimpa kesusahan. Banyak yang aku terhutang budi dengan engkau, tapi tidak mungkin aku dapat membalasnya walaupun satu. Terima kasih.

Kepada pewaris kepimpinan aku, jalankanlah tugas dan amanah ini dengan sebaiknya. Jawatan yang engkau akan pikul buakn sekadar gah pada namanya, tapi besar dan berat tanggungjawab yang bakal engkau pikul. Perbetulkan niat engkau dalam segala hal yang telah dirancang. Jangan sesekali terambil langkah yang salah kerana engkau akan menyesal seumur hidup.

Akhir sekali, aku hanya boleh rakamkan bertapa seronoknya diri aku setelah bergelar seorang mantan walaupun pernah sebanyak 4 kali aku hendak meletakkan jawatan. Kawan-kawan, TERIMA KASIH atas segala tunjuk ajar dan pertolongan yang telah kamu curahkan kepada diriku yang lemah ini. Jasa kamu akan aku kenang, budi kamu akan aku balas. Sekian..

1 comments:

Comment by saya.L-A-N-N on April 7, 2009 at 12:39 AM

seorg manusia takkan hebat tanpa kekurangan, krn dr kekurangan, die belajar menjadi hebat.

u did it ;) all de best

Post a Comment